กระเป๋าแบร์นเนมราคาถูก รองเท้าแท้ราคาถูก

วันเสาร์ที่ 17 มกราคม พ.ศ. 2558

Tertuduh pandang kawasan paya hari diberkas

Tertuduh pandang kawasan paya hari diberkas


Satu-satunya tertuduh wanita dalam insiden pencerobohan Lahad Datu kelihatan memandang ke arah kawasan paya berdekatan rumahnya apabila dia ditahan, Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu diberitahu hari ini.

Pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, Inspektor Radin Ramlan Radin Taha berkata dia mendapati Norhaida Ibnahi menoleh ke kawasan paya apabila dia membawanya keluar ke hadapan rumahnya pada pagi 22 Mac 2013 berhampiran Kampung Sri Melor, Bugaya, Semporna.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya, Jamil Aripin, katanya beliau pergi untuk memeriksa kawasan berpaya selepas menerima arahan daripada komander operasi, ACP Hazani Ghazali untuk memeriksa kawasan di belakang rumah Norhaida dan juga mencari seorang lagi suspek Datu Amir Bahar Hushin Kiram.

Saksi itu, yang memberi keterangan pada perbicaraan 30 orang yang dituduh melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan oleh militan Sulu di Kampung Tanduo di Lahad Datu, menyifatkan kawasan paya itu dipenuhi semak dan ada muara sungai yang luas, cukup untuk bot melaluinya.

"Adakah kamu menemui sasaran (Datu Amir Bahar) ini?" Jamil bertanya dan saksi menjawab: "Tidak."

Radin Ramlan memberitahu mahkamah sebelum operasi untuk menangkap Norhaida dan Datu Amir Bahar, 30 anggota UTK termasuk beliau telah diberi taklimat pada malam sebelumnya oleh Hazani di Pangkalan Marin Semporna.

Beliau berkata 30 anggota itu berpecah kepada lima pasukan dengan beliau mengetuai pasukan enam anggota ditugaskan untuk menyerbu ke rumah-rumah yang disasarkan.

Beliau juga berkata pasukan dari Cawangan Khas (SB) akan membantu dalam operasi dengan bertindak sebagai penunjuk arah ke lokasi bagi serbuan.

Dalam operasi itu, Kampung Sri Melor dibahagikan kepada lima sektor -- sektor A, B, C, D dan E -- dengan setiap pasukan ditugaskan bagi setiap sektor, kata beliau.

"Setibanya di Kampung Sri Melor kira-kira pukul 5.40 pagi (22 Mac 2013), saya dan pasukan saya masuk ke sektor yang ditetapkan iaitu sektor C untuk membuat serbuan dan mencari suspek," katanya dan menambah ada empat buah rumah dalam sektornya.

Radin Ramlan memberitahu mahkamah beliau dan pasukannya menggempur keempat-empat rumah terbabit dan menahan sembilan orang. Tetapi tidak seorang pun daripada mereka dikenal pasti sebagai suspek yang dicari, kata beliau.

"Selepas pemeriksaan mendapati suspek bukan antara sembilan orang tersebut, saya dan pasukan saya mendapat arahan daripada ACP Hazani untuk memeriksa kawasan di belakang sektor saya.

"Sebaik menerima arahan tersebut, saya dan pasukan saya terus bergerak ke kawasan yang diarahkan di mana kawasan itu jauh di luar sektor kami," kata saksi itu.

Radin Ramlan berkata beliau dan pasukannya menjumpai sebuah rumah tersorok di belakang pokok kelapa sawit.

Selepas memperkenalkan pasukannya sebagai polis dan menyerbu ke rumah terbabit, saksi itu berkata beliau menemui Norhaida membawa beg plastik dan seorang kanak-kanak perempuan, semua berpakaian seperti hendak keluar.

Beliau berkata terdapat juga seorang wanita yang sakit terbaring di atas katil.

Selepas menangkap Norhaida, Radin Ramlan berkata beliau memeriksa beg plastik dan menemui tiga telefon bimbit, kad bank dan dompet mengandungi wang kertas berjumlah RM41 dan satu wang kertas US bernilai $5.

Saksi itu juga berkata beliau menemui tiga lagi telefon bimbit di atas meja dalam rumah itu.

Pegawai polis itu menyerahkan telefon bimbit kepada pegawai SB, ASP Nik Adzian Wan Ismail yang memulangkan telefon itu kepada Radin Ramlan 10-15 minit kemudian selepas memeriksanya.

Radin Ramlan berkata beliau membuat laporan polis mengenai penangkapan dan Norhaida dan sembilan orang lagi yang ditahan di sektor C dan juga barang-barang yang dirampas kira-kira 11.30 pagi itu di ibu pejabat polis Semporna.

Kesemua tertuduh, terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung Isnin ini.

- Bernama

ไม่มีความคิดเห็น:

แสดงความคิดเห็น